‘Sifu & Aku 38’ Gabungkan Dua Legenda Datuk M.Nasir & Datuk Hattan Dalam Satu Pentas.

Dua legenda Datuk M.Nasir & Datuk Hattan masih berbisa - berkongsi pentas untuk ‘Sifu & Aku 38’.

Dua pesohor, dua seniman, dua sinergi di dua lokasi yang paling dinanti, tetapi berkongsi satu pentas khusus buat peminat mereka. Mempersembahkan dua figura, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan lewat satu panggung yang digelar ‘Sifu & Aku 38’.



Dianjurkan oleh Westzone Entertainment (M) Sdn. Bhd dan rakan penganjur, GC Productions, kolaborasi ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi pertemuan seorang sifu dan anak buahnya dalam satu panggung. Dengan dua tarikh berbeza di dua lokasi berbeza, ‘Sifu & Aku 38’ akan menghiburkan para peminat di luar Semenanjung, secara tepatnya di Sabah dan Sarawak. Lokasinya ialah Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 25 Mei 2023 dan di Sabah International Convention Centre pada 1 Jun 2023.

Dan untuk memastikan konsert pada 25 Mei (Sarawak) serta 1 Jun (Sabah) terlaksana dengan kemas, pelbagai usaha dijalankan serta diperhalusi oleh pihak penganjur dan produksi. Bukan dari segi ego sang pelaku seni tetapi secara teknikal yang mesti mempunyai kelas tersendiri, kerana itu tanggungjawab ini diberi galas kepada GC Productions Sdn. Bhd.

“Ini adalah cabaran kami di pihak penganjur iaitu memastikan Konsert ‘Sifu & Aku 38’ punya kelas tersendiri dari segi aspek teknikal seperti jalan persembahan, bunyi dan hal-hal belakang tabir.

“Hal ini kerana kedua-dua figura yang kami gabungkan iaitu M.Nasir dan Hattan mempunyai aura yang sangat kuat dan mampu membuatkan para penonton yang hadir kelak untuk sama-sama merasai aura yang sama. Jadi untuk memastikan kolaborasi ini sempurna, teknikal perlu sama hebat dengan penghiburnya,”
ujar Pengarah Westzone Entertainment, Aiman.



Justeru itu penganjur berjanji apa yang disajikan lewat Konsert ‘Sifu & Aku 38’ berbaloi dengan penantian peminat dan aura yang dipancarkan oleh M.Nasir dan Hattan sendiri. Bagi M.Nasir sendiri, persetujuan yang diberi mempengaruhi betapa serius projek ini akan berjalan, sementelah ia memakai kata Konsert ‘Sifu & Aku 38’.

“Mesti ada maksud dan simbolik di sebalik tanggal 38 tahun keraian dan perkataan Sifu dan Aku itu sendiri. Jadi saya melihat ia sebagai buah fikiran yang baik, gabungan bersama Hattan, menyapa peminat di luar Semenanjung, menyemarakkan kembali pasaran konsert tempatan, saya menyambutnya dengqn senang hati,” ujar M.Nasir.



Sementara bagi Hattan pula melihat penganjuran Konsert ‘Sifu & Aku 38’ sebagai sebuah epik dalam dunia seni bagi kariernya dan figura yang dihormati.

“Ini juga sekaligus membuktikan banyak mana lambakan penyanyi luar, penghibur tempatan mempunyai ruang eksklusif yang tidak pernah terbuang dan dilupakan peminat.”


Penjualan tiket sudah bermula sejak 28 Februari 2023 yang lepas. Tiket-tiket dengan harga serendah RM188 (Cat 5), RM288 (Cat 4), RM388 (Cat 3), RM488 (Cat 2) dan RM1,000 (Cat 1 ) boleh dibeli menerusi talian +603 8605 0195 atau dapatkan di laman sesawang www.myticket.asia. Konsert akan bermula jam 8.30 malam.

Post a Comment

0 Comments