SUKE GO, Gabungan Tenaga SUKE SHOP Bersama GOKINGKONG.

SUKE SHOP, sebuah platform e-dagang berkonsepkan pembelian dari rumah di bawah naungan rangkaian hiburan tempatan yang dilancarkan oleh Dato AC Mizal iaitu SUKE TV, hari ini telah melancarkan SUKE GO – sebuah perkhidmatan penghantaran premium - dengan kerjasama platform logistik dan e-dagang, GOKINGKONG.

Satu majlis sidang media dan majlis menandatangani perjanjian telah dijalankan dengan kehadiran Dato' AC Mizal, Pengasas dan Pengerusi SUKE TV; Datin Emylia Rosnaida, Pengarah SUKE TV; Desmond Ng, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GOKINGKONG; di samping kehadiran artis-artis jemputan, pihak media dan lain-lain.



Kepada yang tidak mengenali GOKINGKONG, mereka ialah sebuah platform agregator yang menghubungkan pengguna secara terus kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan. Platform ini menyediakan produk di bawah pelbagai kategori yang secara amnya beroperasi di bawah empat teras utama: lebih baik, lebih pantas, lebih selamat dan lebih berpatutan. GOKINGKONG bertindak sebagai pengurus penyumberan peribadi yang menyalurkan tawaran terbaik dalam pasaran kepada pengguna mereka.

SUKE SHOP kini menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma pada hari bekerja seterusnya dan ke bandar-bandar utama di seluruh negara untuk produk yang dijual di platform tersebut melalui SUKE GO. Dengan kerjasama ini, pengguna SUKE SHOP akan dapat menikmati perkhidmatan penghantaran yang efisien, cepat dan senang terus ke halaman rumah mereka.



SUKE SHOP juga memaklumkan penambahan lebih 20,000 produk baharu di platform yang layak untuk perkhidmatan penghantaran melalui SUKE GO. Produk-produk ini terdiri daripada barangan elektronik dan isi rumah, barangan keperluan haiwan peliharaan, barangan runcit, barangan jenama sukan terkemuka seperti Puma, aksesori telefon bimbit dan banyak lagi.

Istimewa kepada ahli-ahli yang baru berdaftar di sukeshop.com, baucar bernilai sehingga RM10 juta juga akan tersedia untuk ditebus. Selain itu, pembeli SUKE SHOP juga berpeluang untuk memenangi sebuah kereta Ferrari atau hadiah wang sejumlah RM1 juta dengan hanya berbelanja minimum RM100 dalam satu resit melalui peraduan SUKE MENANG.



Fokus SUKE GO ialah supaya kedua-dua pihak SUKE SHOP dan GOKINGKONG akan dapat memanfaatkan kekuatan, pengetahuan, sumber dan kepakaran masing-masing untuk memperkasakan lagi perkhidmatan mereka kepada pelanggan. SUKE SHOP berharap kerjasama dengan GOKINGKONG ini dapat meluaskan lagi kehadiran mereka dalam industri e-dagang tempatan.

Bertanya tentang produk IKS yang kini semakin mendapat tempat di platform SUKE SHOP, Dato' AC Mizal berkata yang SUKE SHOP sangat mengalu-alukan penyertaan mereka di SUKE SHOP kerana beliau ingin artis-artis yang mempunyai produk sendiri atau pengasas produk di Malaysia supaya lebih dikenali dan seterusnya menguatkan lagi industri IKS dan memberikan peluang untuk produk-produk yang bagus menembusi pasaran yang lebih meluas.



SUKE SHOP juga berhasrat untuk menjadi peneraju pasaran dalam segmen e-dagang Malaysia dengan terus menjalin perkongsian seperti ini untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan mereka.

Post a Comment

0 Comments