Bukan Sahaja Penyeri Kek dan Manisan, Beri Biru Ada Lebih Banyak Manfaat.

Kebaikan Oregon & Washington Blueberries | Kepada peminat kek atau manisan, beri biru bukannya bahan yang asing. Beri biru atau buah blueberry, walaupun kecil tapi ada banyak manfaatnya. Bukan sahaja kepada kulit dan rambut, tetapi juga untuk kesihatan tubuh badan.



Kalau korang nak tau, penanaman beri biru hanya ditemui sekitar abad ke-20. Sebelum itu, buah asli dari Amerika Utara ini hanya terdapat di dalam hutan. Oregon dan Washington merupakan dua negeri penghasil beri biru terbesar di Amerika Syarikat.

Beri biru secara semula jadi manis, sedap dan berkhasiat serta memberi banyak manfaat pada kesihatan, seperti meningkatkan kesihatan jantung, kesihatan kulit, mengurangkan tekanan darah, mencegah kanser, diabetes, dan menstabilkan kesihatan mental juga!



Antara fakta pemakanan berkait dengan beri biru dan manfaatnya kepada kesihatan:

1. Satu cawan bersamaan 148g buah beri biru menyumbang 25% daripada nilai vitamin C harian iaitu 14.4mg Vitamin C. Vitamin C dapat membantu menyokong sistem imunisasi badan.

2. Satu cawan bersamaan 148g buah beri biru mengandungi 3.6g serat, bersamaan dengan 14% daripada keperluan serat harian oleh tubuh badan. Serat makanan mampu meningkatkan kadar lipid darah, mengatur kadar gula dalam darah, dan membuatkan kita rasa kenyang lebih lama. Jika kita dalam tempoh berdiet, buah beri biru sangat sesuai untuk dijadikan snek sihat.



3. Beri biru kaya dengan antioksidan. Beri biru dipercayai mempunyai salah satu tahap antioksidan tertinggi dari semua jenis buah dan sayur biasa. Antioksidan melindungi badan kita daripada radikal bebas (molekul tidak stabil yang boleh merosakkan sel dan menyumbang kepada penuaan dan penyakit).

4. Satu cawan bersamaan 148g buah beri biru menyumbang kepada 36% daripada nilai Vitamin K harian iaitu 28 mikromiligram Vitamin K. Pengambilan Vitamin K yang rendah dikaitkan dengan risiko tulang rapuh yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, pengambilan Vitamin K yang mencukupi meningkatkan penyerapan kalsium dan dapat mengurangkan kehilangan kalsium.

Beri biru sudah diperakui sebagai makanan yang menyihatkan jantung oleh Persatuan Jantung Amerika dan mengandungi sebatian semula jadi yang membantu otak supaya kekal cergas.



Dah alang-alang Sally bercerita tentang buah beri biru dan keserasian buah ini dengan pelbagai jenis manisan, Sally nak kongsikan satu resipi yang dihasilkan oleh Chef Bob Kamaruddin Adnin.

Chef Bob Kamaruddin Adnin merupakan Presiden Persatuan Masakan Profesional (Malaysia), dan pernah berkhidmat sebagai chef di beberapa hotel bertaraf 5 bintang di Kuala Lumpur termasuk The Westin dan Mandarin Oriental.

Beliau turut dilantik sebagai Chef Eksekutif di Sheraton Imperial Kuala Lumpur sebagai Chef de Cuisine pada 2008 dan kemudian sebagai Chef Eksekutif Korporat dengan MAS Awana Sdn Bhd sebelum beralih kepada kerjaya semasa sebagai chef perunding sepenuh masa dan pengacara rancangan masakannya sendiri, Chef Bob Cooking.



BLUEBERRY CRUMBLE CAKE

Bahan-bahan untuk kek:
55g Butter / Marjerin
160g Gula Kastor
1 biji Telur
125ml @ ½ cawan Susu Segar
225g Tepung Gandum
2 sudu kecil Serbuk Penaik (Baking Powder)
½ sudu kecil Garam
250g Beri biru segar Oregon atau Washington



Untuk topping:
100g Gula Kastor
45g Tepung Gandum
½ sudu kecil serbuk kayu manis
55g Butter / Marjerin (potong kecil)



Cara-cara penyediaan:
1. Panaskan ketuhar hingga 180° Celcius. Griskan loyang berukuran 9 inci petak atau bulat
2. Ayak tepung dengan serbuk penaik dan garam. Ketepikan.
3. Campurkan mentega dan gula bersama dengan kelajuan sederhana tinggi dalam pengadun sehingga sebati, kembang dan kuning muda. Masukkan telur dan pukul hingga sebati. (Sally tambah 1 sudu kecil esen vanila ke dalam adunan)
3. Masukkan tepung yang sudah diayak, selang selikan dengan susu.
4. Tutup pengadun dan tambah beri biru Oregon atau Washington segar dan kacau. Pindahkan adunan kek ke dalam loyang tadi.



5. Untuk topping crumble, masukkan gula, tepung, serbuk kayu manis dan mentega ke dalam mangkuk adunan. Menggunakan pengisar pastri, potong mentega ke dalam adunan sehingga ia menyerupai serbuk roti kasar. Jika tiada boleh ramas kasar menggunakan tangan.
6. Taburkan topping atas adunan kek, kemudian bakar selama kira-kira 40 hingga 50 minit atau sehingga kek masak. Kek ini sesuai dihidangkan hangat dengan sedikit kastard atau aiskrim Vanila.



Untuk lebih info berkenaan beri biru, boleh layari laman sesawang www.oregonblueberry.com atau https://wablueberries.com/wa-blueberry-commission/

Post a Comment

1 Comments

Hi there! Thanks for stopping by and comment. Please be polite and hopefully, all the information is useful to you and don't forget to come again! Much love!