Saturday, October 24, 2020

BPN 2.0 Sudah Mula Disalurkan Kepada Penerima Bermula 19 Oktober 2020.

BAYARAN FASA PERTAMA BANTUAN PRIHATIN NASIONAL (BPN) 2.0 BERMULA AWAL DARIPADA DIJADUALKAN

Susulan berita gelombang kedua pandemik Covid-19, pihak kerajaan prihatin dengan kesukaran yang dialami oleh rakyat pada ketika ini. Susulan beberapa pertanyaan daripada orang ramai, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 telah bermula lebih awal daripada dijadualkan iaitu daripada 26 Oktober kepada 19 Oktober 2020 yang lalu.

Pembayaran BPN 2.0 fasa pertama ini dapat dipercepatkan ekoran komitmen usaha pegawai-pegawai Kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan institusi kewangan yang terlibat. Sehubungan itu, pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40. Pembayaran telah pun bermula pada 19 Oktober 2020 melibatkan 7.5 juta penerima, iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.



Manakala golongan M40 pula yang melibatkan 3.1 juta penerima, iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, pembayaran telah bermula mulai 22 Oktober 2020. Proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 ini akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan Oktober 2020.


Bagi penerima BPN yang tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020. Manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November 2020.

Memandangkan terdapat beberapa negeri yang sedang dalam tempoh PKPB, pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut atau semakan, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada bsh@treasury.gov.my.

PERMOHONAN BAHARU BPN 2.0

Untuk mereka yang ingin membuat permohonan baharu, permohonan sudah boleh dilakukan bermula 15 Oktober yang lepas sehingga 15 November 2020 dan pihak LHDN menyarankan untuk dilakukan secara atas talian bagi memudahkan kerja selain memutuskan rantaian Covid-19. Semakan dan permohonan boleh dilakukan di https://bpn.hasil.gov.my. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada bulan Januari 2021.

Kepada semua rakyat Malaysia, Sally harap dapat memerhatikan ahli keluarga yang menerima BPN 2.0 agar berhati-hati dengan scammers yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan/menerima bantuan BPN 2.0 ini. Penerima disarankan untuk merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

1 comment:

Hi there! Thanks for stopping by and comment. Please be polite and hopefully, all the information is useful to you and don't forget to come again! Much love!